Orang awam tak perlu tunjuk fizikal roadtax lagi – Loke
Polis dan JPJ kini mempunyai peranti baharu untuk mengimbas kesahihan cukai jalan secara elektronik di sekatan jalan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Anggota polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dilengkapi dengan peranti elektronik untuk memeriksa cukai jalan dengan memasukkan plat nombor pendaftaran menggunakan peranti tersebut, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
“Polis atau JPJ tidak lagi melihat atau menyemak pelekat cukai jalan pada cermin hadapan kereta. Tidak perlu menyemak secara fizikal,” kata Loke di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Hulu Selangor Mohd Hasnizan Harun mengenai pemandu warga emas, yang mungkin menghadapi masalah menunjukkan cukai jalan digital mereka kepada anggota penguatkuasa.
Loke berkata, sebanyak 13.7 juta individu telah memuat turun aplikasi MyJPJ setakat ini, dengan 10.7 juta daripadanya sudah mendaftar untuk pengesahan identiti secara elektronik dengan JPJ.
Loke turut menambah bahawa aplikasi MyJPJ akan dapat menghantar peringatan untuk pembaharuan cukai jalan tidak lama lagi.
“Kementerian dan JPJ kekal komited untuk memperbaiki aplikasi MyJPJ secara berterusan bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan dalam talian kepada rakyat.”
“Ini bermakna terdapat lebih kurang 10 juta individu menggunakan aplikasi MyJPJ,” katanya sambil menambah kementerian tidak akan memperlahankan usaha pendigitalannya, selaras dengan hala tuju negara.